KUCHING: Bahagian ini termasuk Kota Samarahan tidak akan berdepan masalah bekalan air yang serius ketika berdepan fenomena El Nino, iaitu cuaca kering yang luar biasa panjang dari Mac hingga Ogos tahun ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, ia memandangkan Lembaga Air Kuching (LAK) tidak mempunyai masalah dengan bekalan sumber air mentah kepada Loji Rawatan Air Batu Kitang sejak 2016 dengan siapnya Empangan Bengoh.
Katanya, ia ditambah lagi dengan naik taraf Loji 2, Loji Rawatan Air Batu Kitang dengan kapasiti daripada 96 juta liter sehari (MLD) kepada 200 MLD yang akan siap sepenuhnya pada Julai nanti setelah dimulakan pada 1 Mac 2021.
“Purata permintaan air untuk tahun ini ialah 730 MLD dan dengan siapnya menaik taraf Loji 2, ia akan memberikan tambahan 104 MLD kepada jumlah kapasiti di Loji Rawatan Air Batu Kitang daripada 780 MLD kepada 884 MLD,” katanya yang ditemu-bual ketika melawat ke Loji Rawatan Air Batu Kitang di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua pihak agar mengambil langkah penjimatan air bagi meminimumkan kesan kemarau yang boleh menyebabkan isipadu air rendah dan tekanan air rendah untuk penggunaan isi rumah, pertanian dan sebagainya.
Menjelas lanjut, Julaihi berkata ketika ini, kapasiti pengeluaran semasa bekalan air dari Loji Rawatan Air Batu Kitang adalah sebanyak 780 MLD.
Katanya setakat 27 Mac ini, rangkaian Lembaga Air Kuching (LAK) adalah merangkumi 11 takungan utama dengan kira-kira 3,000 kilometer saluran paip yang membekalkan air terawat kepada 198,643 akaun aktif di Kuching serta kawasan berhampiran termasuk Kota Samarahan, Asajaya, Santubong dan Bau.
Sementara itu, Julaihi berkata kementeriannya sedang giat melaksanakan projek penambahan pengeluaran bekalan air di seluruh Sarawak.
“Banyak projek bekalan air yang sedang dan akan kita laksanakan dan semuanya adalah dibiayai oleh Kerajaan Sarawak,” katanya.
Menurutnya, setakat ini liputan bekalan air di kawasan luar bandar adalah 70 peratus, dengan purata keseluruhan liputan bekalan air bagi kawasan luar bandar dan bandar di seluruh Sarawak adalah 85 peratus.