Kerajaan Sarawak komited sedia bekalan air bersih ke seluruh negeri menjelang 2030

Posted on 21 Feb 2025
Source of News: TVS
sbas 2025
Dato Sri Julaihi Narawi (tengah) pada Majlis Jalinan Mesra di Kuching, malam tadi. Foto Julaihi Narawi (FB)
 

KUCHING, 21 Feb: Kerajaan Sarawak komited menyediakan bekalan air bersih dan mencukupi ke seluruh negeri menjelang tahun 2030 menerusi pelaksanaan Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan Sistem Grid Bekalan Air Sarawak.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, berkata pelan induk ini bertujuan memastikan setiap kawasan, terutama luar bandar, mendapat bekalan air yang mencukupi.

Menurutnya, sistem grid air yang sedang dilaksanakan berupaya menghubungkan pelbagai kawasan di Sarawak bagi meningkatkan kecekapan pengagihan air.

“Pelbagai usaha dan peruntukan besar telah dan akan terus diluluskan bagi meningkatkan infrastruktur bekalan air, sekali gus memastikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memberikan perkhidmatan bekalan air terbaik kepada rakyat di negeri ini.

“Setakat ini, sebanyak RM4.6 bilion telah diperuntukkan oleh Kerajan Sarawak di bawah pembiayaan alternatif dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi pelaksanaan 407 bekalan air, iaitu 289 projek yang telah siap, manakala 79 projek sedang berada dalam peringkat prakontrak dan pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Jalinan Mesra di sini, malam tadi.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM1.1 bilion bagi menggantikan dan menaik taraf sistem paip lama sepanjang 2,470 kilometer di seluruh Sarawak dalam tempoh lima tahun.

“Tahun lalu, RM247 juta telah diluluskan, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan hampir RM500 juta,” jelasnya.

Dalam pada itu, Julaihi turut menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan juga perlu bekerjasama untuk memastikan kelancaran projek bekalan air.

“Setakat ini, beberapa projek yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan sejak tahun 2016 mengalami kelewatan dalam pelaksanaan.

“Justeru, Kerajaan Sarawak berharap agar Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak diberi kuasa penuh untuk melaksanakan projek bernilai RM50 juta dan ke bawah,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa usaha ini adalah sebahagian daripada strategi Sarawak untuk memastikan bekalan air di negeri ini mencukupi dan berdaya tahan dalam jangka masa panjang.

“Kami yakin bahawa dengan pelaksanaan projek-projek ini secara menyeluruh dan berterusan, rakyat Sarawak, tanpa mengira lokasi mereka, akan mendapat bekalan air yang stabil dan berkualiti,” jelasnya.